Sahabat Anas r.a berkata: di zaman Rasulullah s.a.w, ada seorang pemuda bernama Alqamah. Pemuda ini giat dan rajin dalam amal ibadah, baik solat, puasa mahupun sedekah. Tiba-tiba ia sakit cukup berat, maka isterinya menyuruh orang menghadap Rasulullah s.a.w untuk memberitahu bahawa suaminya sakit keras, dalam keadaan nazak sakaratul maut.



Maka Rasulullah s.a.w menyuruh Bilal, Ali, Salman dan Ammar r.a supaya datang ke tempat Alqamah, melihat bagaimana keadaannya. Ketika sampai di rumah Alqamah, mereka masuk dan langsung mengajar Alqamah membaca Laa Ilaaha Illallah, tetapi mulut Alqamah bagaikan terkunci sehingga tidak mampu mengucapkan kalimah itu. 

Ketika para sahabat merasa bahawa Alqamah pasti akan mati, maka mereka menyuruh Bilal untuk memberitahukan hal itu kepada Rasulullah s.a.w
 

“Apakah ia masih mempunyai ayah dan ibu?” Tanya Rasulullah s.a.w
 

“Ayahnya telah meninggal, sedang ibunya masih hidup tetapi sudah terlampau tua.” Jawabnya
 

“Wahai Bilal, pergilah kepada ibu Alqamah dan sampaikan salamku. 

Katakan kepadanya: “ Jika kau dapat berjalan, pergilah kepada Rasulullah s.a.w dan jika tidak dapat, maka Rasulullah s.a.w. akan datang ke sini.”
Ketika hal itu disampaikan Bilal kepada perempuan itu, dia berkata: 

“Akulah yang lebih layak mendatangi Nabi s.a.w.” Lalu perempuan itu mengambil tongkat dan berjalan menemui Nabi s.a.w. Setelah memberi salam, ia duduk di depan Baginda.

“Ceritakan kepadaku hal yang sebenarnya. Jika engkau berdusta kepadaku, nescaya akan turun wahyu yang memberitakan kedustaan itu. Bagaimana keadaan Alqamah?”
 

”Ia rajin mengerjakan solat, puasa dan bersedekah sebanyak-banyaknya sehingga tidak terhitung lagi berapa banyaknya.”
 

”Lalu bagaimana hubunganmu dengan dia?” Tanya Nabi s.a.w
 

”Ia lebih mengutamakan isterinya daripada aku, ia menurut kepada isterinya dan menentangku,” jawab ibu Alqamah.

Rasulullah s.a.w bersabda:
 

” Murka ibunya itulah yang mengunci lidah Alqamah untuk mengucap Laa Ilaaha Illallah.”
 

Kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh Bilal supaya mengumpulkan kayu sebanyak-banyaknya untuk membakar Alqamah.

”Ya Rasulullah s.a.w, puteraku buah hatiku, akankah kau bakar dengan api di depanku? Bagaimana hatiku dapat menerimanya?” Kata ibunya.

”Hai ibu Alqamah, seksa Allah lebih berat dan kekal. Kerana itu jika engkau menghendaki agar Allah mengampuni dosa anakmu, maka relakanlah ia! 

Demi Allah yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya, tidak akan berguna solatnya, puasa dan sedekahnya selama engkau masih murka kepadanya,” kata Rasulullah s.a.w kepadanya.

Lalu ibu Alqamah mengangkat kedua tangannya dan berkata: ”Ya Rasulullah s.a.w, aku persaksikan kepada Allah di langit dan engkau ya Rasulullah, dan siapa yang hadir di tempat ini, bahawa aku telah redha kepada Alqamah,” katanya.

Maka langsung Rasulullah s.a.w menyuruh Bilal pergi melihat keadaan Alqamah apakah sudah mengucapkan Laa Ilaaha Illallah atau belum. Bilal khuatir kalau-kalau ibu Alqamah mengucapkan itu hanya kerana malu kepada Rasulullah dan tidak muncul dari hatinya.

Maka ketika Bilal sampai di pintu rumah Alqamah, tiba-tiba terdengar suara Alqamah mengucap: Laa Ilaaha Illallah. 

Lalu Bilal masuk dan berkata: “ Hai sekalian manusia, sesungguhnya murka ibu Alqamah itulah yang menutup lidahnya untuk mengucapkan syahadat, dan kini lidahnya telah bebas.”

Maka meninggallah Alqamah pada hari itu. Kemudian Rasulullah s.a.w datang dan memerintahkan agar Alqamah segera dimandikan dan dikafani. Lalu disolati oleh Nabi s.a.w.Dan sesudah dikubur, Nabi s.a.w. berdiri ditepi kubur sambil berkata maksudnya:
 

”Wahai sahabat Muhajirin dan Ansar, siapa yang mengutamakan isteri daripada ibunya maka ia terkena kutukan (laknat) Allah, malaikat dan manusia semuanya. Bahkan Allah tidak menerima darinya ibadah baik yang fardhu mahupun yang sunat. Kecuali jika bertaubat benar-benar kepada Allah dan berbuat baik terhadap ibunya, dan minta keredhaannya. Sebab redha Allah tergantung pada redha ibu, dan murka Allah juga terletak pada murka ibu.”

Al Awwam bin Hautsab berkata: Pada suatu hari aku tinggal di suatu daerah dekat perkuburan. Tiba-tiba pada waktu Asar keluarlah dari salah satu kuburan seorang yang berkepala keldai dan berjasad manusia, kemudian menengking tiga kali, lalu kubur itu tertutup kembali. Tidak jauh dari situ ada seorang wanita tua yang sedang memintal benang bulu, lalu ada wanita lain bertanya kepadaku:

”Engkau melihat wanita tua itu?” Tanyanya.
“Memangnya ada apa?” jawabku.
“Dia adalah ibu dari orang yang ada di dalam kubur itu,” katanya
“Bagaimana riwayat kisahnya?” Aku bertanya kepadanya.
“Dahulu orang itu suka minum minuman keras, lalu diingatkan oleh ibunya:
“Hai anakku, takutlah pada Allah! Sampai bilakah engkau akan mabuk-mabukan?”
 

Jawab anaknya:
“Jangan menengking seperti keldai!” kemudian dia mati setelah Asar.

Maka pada saat Asar terbukalah kuburnya dan menengking tiga kali, kemudian kuburnya tertutup kembali. Semoga Allah menghindarkan kita dari sikap derhaka terhadap ibu dan ayah.